PETALING JAYA: Pensijilan halal tidak wajar disalah tafsir sebagai mekanisme tadbir urus negara, sebaliknya perlu kekal sebagai sistem rasmi yang menjamin keyakinan pengguna Islam dan mengawal selia industri halal.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, walaupun konsep halal dalam Islam bersifat menyeluruh meliputi aspek keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik, ia perlu dibezakan dengan fungsi pensijilan halal.
“Pensijilan halal adalah mekanisme rasmi negara bagi memastikan industri mematuhi piawaian syariah. Ia merangkumi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan sembelihan halal.
“Tanpa sijil halal, umat Islam berisiko berdepan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sirajuddin berkata, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan pula merupakan mandat semua kementerian serta agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kehakiman.
“Al-Quran dan sunnah jelas mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah. JAKIM secara berterusan menyampaikan mesej ini melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran serta medium dakwah sama ada konvensional mahupun digital,” katanya.
Menurut beliau, memperluaskan skop pensijilan halal kepada pentadbiran negara tidak berbangkit kerana aspek itu telah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.
Sebaliknya, beliau berkata, JAKIM kekal fokus memastikan pensijilan halal Malaysia terus unggul di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam menegaskan larangan syariah terhadap salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.
“Kerajaan Madani melalui JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak, bukan sahaja untuk mengekalkan halal Malaysia sebagai penanda aras global, malah memperkasa pendidikan Islam, pembangunan ummah, dakwah dan institusi keluarga.
“Segala usaha ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesucian, kebersihan, keadilan dan integriti selaras dengan tuntutan syariah dan aspirasi negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pensijilan halal JAKIM wajar diperluaskan bukan hanya pada makanan tetapi kepada aspek pentadbiran negara.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sekiranya Jakim mahu menjadi penjaga moral kepada negara, maka agensi itu juga perlu menyatakan bahawa rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tindakan `menyonglap’ berbilion ringgit wang rakyat adalah haram. – UTUSAN










