IPOH: Penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji menerusi Belanjawan 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian BKK itu termasuk kepada ahli-ahil ex-officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan negeri yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak, orang besar jajahan dan kakitangan di bawah Kontrak MySTEP.
“Selain penjawat awam, kerajaan negeri turut berbesar hati memanjangkan BKK ini dengan kadar RM600 untuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta tok batin.
“BKK ini turut dipanjangkan kepada guru-guru KAFA, guru i’dadi dan thanawi pada kadar RM400,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut Saarani, sebagai penghargaan atas jasa bakti penjawat awam negeri, kerajaan negeri bersetuju untuk siling peruntukan Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan ditambah RM1.0 juta menjadi RM5.5 juta.
Katanya, kadar faedah bagi pinjaman Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan dan Pinjaman Komputer untuk pinjaman kali kedua pula dikurangkan kepada kadar dua peratus setahun berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.
“Sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri turut memanjangkan BKK kepada semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun, iaitu berjumlah RM20,000.
“Bayaran penuh BKK itu akan dibuat pada Disember depan manakala BKK untuk Pusat Khidmat DUN pula pada Januari 2026,” katanya.
Tambah beliau, pemberian tersebut diharap menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan penuh empati dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.
“Dalam setiap saat Perak diuji, saudara-saudari tetap teguh berdiri. Ketika negeri hampir rebah, saudara saudari bersetia dengan tabah.
“Tatkala rakyat diuji dengan musibah, saudara saudari berbakti tanpa lelah. Segalanya dicurah atas rasa percaya, bahawa rakyat dan negeri mesti dijaga,” katanya. – UTUSAN










