SEREMBAN: Dua graduan Universiti Sains Islam (USIM) menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu hari ini.
Mereka ialah Anas Azmi, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah serta graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Ridhwan Ariffin, 23.
Anas berkata, dia memilih menyambung pelajaran dalam bidang itu didorong motivasi oleh arwah abang dan arwah bapanya yang merupakan imam masjid.
“Abang saya meninggal dunia s sebelum sempat dia menamatkan pengajian. Selepas kehilangan abang, saya berusaha menyelesaikan pengajian yang arwah abang tidak sempat tamatkan.
Ia menjadi motivasi untuk saya bagi memperluas ilmu dalam bidang ini termasuk sekarang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana,” katanya selepas sesi sidang pertama Majlis Konvokesyen Ke-23 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini hari ini.

Menurut Ridhwan pula, sepanjang empat tahun pengajian, dia menghadapi pelbagai cabaran termasuk masalah kewangan.
“Pada satu ketika, saya hampir hilang arah kerana bimbang tidak mampu meneruskan pengajian disebabkan kos pengajian yang semakin meningkat.
“Namun, bantuan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meringankan beban dan saya dapat kembali menumpukan perhatian sepenuhnya kepada akademik,” katanya yang memberitahu anugerah diterimanya itu tidak akan dicapai tanpa dorongan serta bimbingan pensyarah dan rakan-rakan sepengajian.
Istiadat Majlis Konvokesyen USIM Ke-23 telah disempurnakan oleh Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Baginda pada majlis sama turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Sains Perubatan kepada bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah kepada Datuk Abdul Latif S. Mirasa selain gelaran Prof. Emerita kepasa Prof. Dr. Faizias Mat Nor dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.
Seramai 3,631 graduan diraikan sempena majlis konvokesyen tahun ini yang melibatkan seramai 2,923 graduan Ijazah Sarjana Muda, 103 graduan Doktor Falsafah (PhD), 101 graduan Sarjana, 212 graduan Diploma Lanjutan dan 292 graduan Diploma Pascasiswazah (DPPI). – UTUSAN










