SHAH ALAM: Seramai 2,784 mangsa banjir telah ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah terjejas di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan RM500 kepada 750 keluarga terjejas yang disahkan berdaftar di daerah terbabit.
Katanya, daripada jumlah mangsa itu, 221 mangsa merupakan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
“Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan peranti digital akibat banjir supaya urusan peperiksaan mereka dapat diteruskan dengan lebih selesa.
“Bagi memudahkan perjalanan ke pusat peperiksaan, pejabat-pejabat daerah menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amirudin, usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dipercepatkan dan pemantauan serta perincian tindakan akan dilakukan petang ini oleh Exco Kemajuan Infrastruktur, Datuk Izham Hashim.
“Di saat yang mencabar ini, saya mendoakan keselamatan seluruh rakyat Selangor, terutamanya mereka yang berada di PPS, dan saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan petugas yang bertungkus-lumus menyalurkan bantuan segera,” katanya. – UTUSAN










