ALOR SETAR: Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) digesa memberi diskaun atau pengecualian khas cukai taksiran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, langkah itu penting bagi memastikan beban kewangan peniaga kecil tidak semakin meningkat susulan pengumuman kadar baharu cukai taksiran yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Katanya, insentif sama wajar diperluas kepada penyewa premis kos rendah dan peniaga kecil bagi membantu mereka berdepan tekanan ekonomi pasca-pandemik.
“Pihak berkuasa juga wajar mengadakan sesi libat urus serta rundingan terbuka bersama komuniti perniagaan dan pemilik hartanah sebelum melaksanakan kadar baharu ini bagi mewujudkan suasana lebih telus dan saling memahami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan keresahan warga Alor Setar apabila menerima ‘surat putih’ daripada MBAS yang memaklumkan kadar baharu cukai taksiran, dengan sebahagiannya dilaporkan meningkat melebihi 200 peratus.
Mohd. Zayad berkata, sebarang pelarasan cukai hendak dilakukan secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun dengan kadar kenaikan terkawal mengambil kira kadar inflasi, pendapatan median setempat dan situasi ekonomi semasa.
Katanya, pembangunan bandar raya tidak wajar dibina atas penderitaan rakyat bawahan serta peniaga tempatan yang menjadi nadi ekonomi setempat.
Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Datuk Cheng Lai Hock menyeru pemilik hartanah supaya menggunakan hak mereka membantah kadar baharu itu sebelum tarikh akhir ditetapkan.
Katanya, sehingga 27 Oktober lalu, MBAS hanya menerima sekitar 1,200 borang bantahan, suatu jumlah yang masih kecil berbanding keseluruhan pemilik harta di kawasan pentadbiran berkenaan.
“Walaupun rayuan tidak semestinya berjaya, namun jika rakyat berdiam diri, ia seolah-olah bersetuju dengan kadar baharu tersebut. Ini bukan isu kecil kerana ia akan menjadi tanggungan setiap tahun pada masa depan,” katanya.-UTUSAN










