KUALA LUMPUR: Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim dilantik sebagai penaung dan penasihat rasmi syarikat agensi pelancongan,Vacasia Tours & Travel.
Pengarah Urusan Vacasia Tours Travel, Adam Ibrahim berkata, pelantikan itu mampu memperkukuh hala tuju strategik serta kualiti pengurusan pakej umrah dan pelancongan Islamik.
Katanya, pelantikan itu juga dibuat berikutan ketokohan Mohd. Izhar dalam bidang dakwah dan pengurusan ibadah, yang sebelum ini menjadi rujukan masyarakat menerusi video di platform media sosial.
“Dengan pengalamannya, banyak idea baharu timbul untuk kami terokai dalam industri umrah. Beliau bukan sekadar menasihat, tetapi mencetuskan inspirasi kepada kami untuk menambah baik modul dan pendekatan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelantikan Penaung dan Penasihat Kehormat Vacasia Tours & Travels Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Izhar berkata, pelantikan dirinya itu merupakan amanah besar, selaras dengan hasrat beliau untuk melihat lebih ramai anak muda berjaya dalam dunia keusahawanan.
Menurut beliau, langkah Vacasia Tours Travel dipimpin generasi muda amat bertepatan dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan keterlibatan golongan muda dalam pelbagai agensi dan bidang strategik. – UTUSAN










