Pembinaan laluan ECRL berhampiran Batu Caves dihenti sementara

Pembinaan laluan ECRL berhampiran Batu Caves dihenti sementara

ECRL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Batu Caves dihentikan sementara waktu susulan insiden kanopi keluli sementara yang runtuh menimpa sebuah kereta, hari ini.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai insiden melibatkan struktur sementara yang berlaku tersebut dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Katanya, struktur sementara itu digunakan bagi kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) dilaporkan mengalami kegagalan dan menimpa sebuah kereta jenis Suzuki Swift pada pukul 2 petang tadi.

“Sebagai langkah keselamatan, semua kerja pembinaan di kawasan terlibat telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat. Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara sedang dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa serta agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang berada di lokasi untuk menjalankan tindakan lanjut.

Katanya, MRL difahamkan bahawa struktur sementara tersebut dibina bagi memastikan keselamatan jalan raya serta menyokong pelaksanaan kerja-kerja di bawah jambatan.

“Kerja-kerja pembinaan RUB telah disiapkan pada Oktober lalu dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November selepas menerima kelulusan agensi terlibat.

“MRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN