Pemangsa siber kian agresif, ancaman tanpa sempadan - Ahmad Zahid

Pemangsa siber kian agresif, ancaman tanpa sempadan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ancaman pemangsa dalam talian tidak lagi boleh dianggap sebagai bahaya yang jauh, sebaliknya kini berlaku secara nyata, agresif dan bergerak lebih pantas daripada kemampuan perlindungan semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahaya dalam talian bersifat tanpa sempadan, menjadikan kerjasama kolektif ASEAN satu keperluan mendesak bagi melindungi kanak-kanak yang kini hidup dalam dunia digital yang semakin kompleks.

“Pemangsa dalam talian tidak mengenal sempadan. Pemangsa tidak memerlukan pasport. Video berbahaya tidak berhenti di pintu imigresen.

“Satu hantaran berbahaya boleh sampai ke sebelas negara ASEAN dalam beberapa minit. Inilah sebabnya tindakan kolektif ASEAN ini sangat penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan 2025 ASEAN ICT Forum on Child Online Protection dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, angka semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk ASEAN meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak.

74 peratus pengguna internet berumur 15 tahun ke atas di Singapura terdedah kepada kandungan berbahaya pada 2024.

Di Malaysia sahaja, 33 peratus anak muda pernah menjadi mangsa buli siber serta tinjauan lain yang menunjukkan seorang daripada tiga remaja di Malaysia pernah mengalami buli siber.

Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan kira-kira 9,000 aduan buli siber pada 2024 iaitu purata 27 kes sehari.

“Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membolehkan pemangsa meniru suara, menghasilkan imej deepfake dan memanipulasi identiti kanak-kanak. Semuanya dari belakang skrin.

“Jurang kesedaran dan kekurangan data di negara-negara ASEAN turut menyukarkan penguatkuasaan dan meningkatkan risiko terhadap kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN