Antara drama Korea selain Goblin pernah adakan reunion - Utusan Malaysia

Antara drama Korea selain Goblin pernah adakan reunion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH drama popular yang menciptakan fenomena ketika ia ditayangkan bukan sahaja penting dalam catatan rekod tontonan, tetapi mempunyai ikatan emosi yang sangat dalam kepada penonton. Apabila drama rantaian itu berakhir, ada sisa kesedihan dan rindu yang akan tertinggal dalam diri mereka apa lagi masing-masing saling menunggu episod baharu setiap minggu.

Oleh itu, edisi reunion atau memanggil kembali pelakon yang pernah bekerjasama dalam drama tersebut selepas beberapa tahun drama disiarkan menjadi perkara yang besar di Korea Selatan.

Baru-baru ini, pasukan pelakon Goblin mengadakan sesi reunion bagi meraikan ulang tahun ke-10 drama itu dengan mengumpulkan kembali para pelakonnya. Berikut adalah antara drama yang mengadakan reunion sekali gus mencuri perhatian peminat.

Reply 1988

Drama ini boleh dikatakan sebagai drama kekeluargaan paling popular di Korea Selatan. Sempena ulang tahun ke-10 tahun lalu, hampir keseluruhan pelakon kembali berkumpul dalam sebuah program khas selama tiga episod. Mereka menyertai percutian dua hari satu malam sambil mengenang kembali detik-detik indah ketika membintangi drama yang pernah mencatat rating luar biasa itu.
Apa yang lebih menyentuh hati, kemunculan semula pelakon kanak-kanak yang membawa watak Jin-joo membuatkan ramai pelakon tidak dapat menahan air mata.

Hospital Playlist

Walaupun belum mencecah usia 10 tahun, Hospital Playlist mempunyai hubungan yang cukup istimewa dalam kalangan pelakonnya iaitu Jo Jung-suk, Yoo Yeon-seok, Jung Kyung-ho, Kim Dae-myung dan Jeon Mi-do. Mereka sering mengadakan reunion ala konsert yang membawa semula band fiksyen dalam drama itu iaitu Mido and Falasol. Keakraban mereka di luar set membuatkan ramai peminat menganggap persahabatan itu sama erat seperti dalam drama.

Goblin

Dalam edisi reunion, produksi kembali membawa empat pelakon utamanya iaitu
Gong Yoo, Lee Dong-wook, Kim Go-eun dan Yoo In-na dalam sebuah percutian. Sepanjang bercuti, mereka akan mengimbau semula kenangan serta babak ikonik antara mereka sepanjang penggambaran 10 tahun lalu. Bukan itu sahaja, memandangkan mereka sangat akrab, peminat mula menjodohkan mereka sebagai pasangan bercinta iaitu antara Lee Dong Wook dan Yoo In-na begitu juga Gong Yoo dan Kim Go-eun. Reunion ini juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20 saluran tvN.

Coffee Prince

Walaupun sudah lebih sedekad ditayangkan, Coffee Prince masih dianggap antara drama romantik terbaik Korea Selatan. Pada tahun 2020, pelakon-pelakon utama termasuk Gong Yoo, Yoon Eun-hye, Lee Sun-kyun dan Chae Jung-an disatukan semula menerusi dokumentari khas My Dear Youth: Coffee Prince.
Program itu bukan sekadar reunion, malah menjadi platform untuk mereka berkongsi perubahan hidup, kerjaya dan kenangan sepanjang menghasilkan drama yang melonjakkan nama masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN