Timbul pula cerita mengenai seorang pelakon lelaki yang dikatakan cukup cerewet apabila mahu menerima tawaran berlakon. Bukan soal skrip semata-mata, bukan juga mengenai watak atau bayaran, tetapi dengarnya, siapa pelakon lelaki lain yang akan bergandingan dengannya pun boleh jadi penentu sama ada dia mahu menerima sesebuah projek atau tidak.
Menurut cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga, kalau ada produksi yang mahu mendapatkan khidmatnya, dia dikatakan mahu tahu terlebih dahulu siapa barisan pelakon lelaki lain yang terlibat.
Malah, ada juga yang mendakwa dia pernah memberikan syarat dirinya mahu mempunyai suara dalam menentukan siapa sesuai untuk berlakon bersamanya.
Kalau nama yang dicadangkan itu dia berkenan, mungkin semuanya berjalan lancar. Tetapi kalau tidak menepati cita rasanya, harap maaflah. Lebih-lebih lagi kalau pelakon lelaki itu dikatakan lebih popular, atau sedang berada di puncak perhatian ramai. Takut tenggelam ke tu?
Cik Bunga pun pelik juga. Dalam sesebuah naskhah, bukankah lagi hebat barisan pelakonnya, lagi bagus untuk keseluruhan karya? Kalau semua orang mahu menjadi paling menyerlah, susahlah penerbit dan pengarah hendak menyusun barisan pelakon.
Lagipun, industri seni ini ibarat roda. Hari ini di atas, esok lusa mungkin orang lain pula mendapat perhatian. Populariti bukan hak mutlak sesiapa dan peminat pula sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Yang membuatkan Cik Bunga lebih tersenyum sinis, pelakon yang dikatakan banyak syarat ini bukannya sedang ‘in’ sangat pun. Kalau hendak dibandingkan dengan zaman kegemilangannya dahulu, rasanya namanya pun sudah tidak sehangat dulu. Orang putih kata, sudah agak outdated juga.
Jadi, kalau benar cerita yang Cik Bunga dengar ini, eloklah kurangkan sedikit syarat itu. Bukan apa, takut nanti sibuk memilih siapa yang layak berdiri di sebelah nya, akhirnya produksi pula memilih orang lain untuk menggantikan dia.










