MEROTAI: Walaupun dianggap sebagai calon `heavyweight’, semua calon mempunyai peluang yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi menekankan bahawa yang paling penting adalah komitmen dan dasar ditawarkan kepada rakyat.
“Rekod saya sebelum ini termasuk kepimpinan di tiga kementerian dan satu agensi pusat, boleh menjadi panduan kepada pengundi untuk membuat keputusan pada 29 November,” kata beliau ketika ditemui selepas penamaan calon di SJKC Yuk Chin di sini, hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa keputusannya kembali ke kampung dan bertanding di Merotai adalah untuk memberi sumbangan langsung kepada komuniti tempatan.
“Inilah kampung saya dan saya mendoakan semoga orang Merotai terbuka hati untuk memilih saya agar saya dapat terus berkhidmat,” ujarnya.
Ruji turut memaklumkan beliau akan menghadiri beberapa perjumpaan bersama jentera pilihan raya dan pemimpin parti, termasuk Tan Sri Liew Yun Fah daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Menurutnya, beliau yakin dengan sokongan semua pihak dalam menghadapi pilihan raya kali ini.-UTUSAN










