Pelaburan hijau catat RM7.8 bilion tahun lalu

Pelaburan hijau catat RM7.8 bilion tahun lalu

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM7.8 bilion nilai penjanaan pelaburan hijau direkodkan pada tahun lalu dengan lebih 2,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaksanaan itu dijalankan melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta Green Technology Corporation (GTC).

Ia menerusi penganjuran pelbagai program utama seperti International Green Tech & Eco-Product Exhibition and Conference Malaysia (IGEM), Green Technology Financing Scheme (GTFS), Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Government Green Procurement (GGP).

Katanya, sejak tahun 2020, siri penganjuran IGEM telah berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau, dengan kumulatif 34,000 peluang pekerjaan diwujudkan setakat ini.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut mengambil kira aspek pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Pendekatan yang dilaksanakan berasaskan dua teras utama iaitu penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Natural-Based Solutions) dan penyelesaian berasaskan teknologi (Technology-Based Solutions).

“Usaha ini turut melibatkan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi dan agensi seperti HIT Corp, bagi memastikan keperluan tenaga mahir hijau dapat dipenuhi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN–Kemaman) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Johari, bidang kepakaran yang kini diberi tumpuan meliputi audit tenaga, kewangan mampan, pengurusan sisa, penilaian kitar hayat (Life Cycle Assessment) serta Environmental, Social and Governance (ESG) bagi memperkukuh keupayaan tenaga kerja hijau negara.

Mengulas mengenai cabaran utama dalam mencapai sasaran pelaburan hijau, Johari berkata, akses pembiayaan masih menjadi isu utama, khususnya bagi syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang sukar memperoleh kemudahan green financing.

Selain itu, katanya, kekurangan tenaga mahir teknikal serta tahap kesedaran masyarakat dan industri terhadap usaha mengurangkan pelepasan karbon turut menjadi kekangan utama yang perlu ditangani bagi memastikan sasaran Pelan Strategik NRES 2024–2030 dapat dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN