Ketua Pemuda Amanah Bachok didakwa sebar berita palsu harga petrol

Ketua Pemuda Amanah Bachok didakwa sebar berita palsu harga petrol

ABDULLAH Aqili Romeli, 35 selaku Orang Kena Tuduh (OKT) di Mahkamah Sesyen Sepang di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan membuat hantaran palsu menggunakan gambar laporan berita yang memaparkan nama dan logo Buletin Utama.

Abdullah Aqili Romeli, 35 selaku Orang Kena Tuduh (OKT) membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar didakwa membuat dan memuat naik hantaran bersifat palsu menerusi aplikasi Threads menggunakan akaun “@gilieybrembo’ dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang pada 12.00 tengahari, 31 Mac lalu.

Hantaran itu menunjukkan poster yang memaparkan dakwaan kononnya harga petrol RON95, RON97 dan diesel meningkat secara mendadak berkuat kuasa 1 April menggunakan nama serta logo Buletin Utama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman
denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala OKT tidak diwakili mana-mana peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin, selain syarat-syarat tambahan yang wajar dikenakan.

Namun begitu, OKT memohon jaminan lebih rendah atas alasan mempunyai seorang anak angkat dan bekerja sendiri.

“Saya bekerja sendiri sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 bergantung kepada pelanggan. Saya juga mempunyai seorang anak angkat,” katanya.

Selepas mendengar rayuan dari kedua-dua belah pihak, Hakim Ahmad Fuad membenarkan OKT diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, MCMC dilaporkan menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kertas siasatan kes penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN