PUTRAJAYA: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung klip video yang disiarkan di akaun Facebook Pejuang Tun Dr Mahathir yang membuat tohmahan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Menurut sumber, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini susulan tohmahan dalam video perbualan melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan ahli perniagaan bernama Albert Tei.
“Laporan polis oleh pegawai SPRM ini bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menyiasat tohmahan sebagaimana disebut dalam perbualan itu bahawa seorang individu telah berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta supaya diringankan kes dihadapi Albert Tei dan supaya kes itu diselesaikan secara baik dan tidak berlarutan.
“Dalam laporan polis itu juga, pegawai SPRM berkenaan turut menyebut bahawa kandungan video terbabit berniat jahat bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan siasatan SPRM adalah telus dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya hari ini.
Kata sumber itu lagi, perbualan wanita dan ahli perniagaan sebagaimana dalam klip video terbabit adalah berniat jahat bukan sahaja bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebaliknya dipercayai bagi mencemar imej dan kredibiliti SPRM.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan mengenai laporan polis yang dibuat oleh pegawai SPRM berkenaan dan berkata laporan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kedua-dua individu berkenaan. – UTUSAN










