KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) dan PAS memberi aku janji tidak akan mensia-siakan mandat dan amanah yang diberikan oleh pengundi dengan jaminan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Sabah khususnya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas amat menghargai sokongan yang diberikan oleh para pengundi di Karambunai kepada calon PN yang diwakili oleh Pas sehingga memenangkan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
“Kemenangan ini menzahirkan penerimaan serta keyakinan majoriti rakyat di Karambunai
kepada Calon PN untuk terus berbakti kepada seluruh rakyat di Kawasan ini tanpa mengira
apa latar belakang sekalipun, demi masa depan yang lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya di semua DUN yang ditandingi yang diterajui oleh Pengarah Pilihan Raya PRN Pas Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa dari mula sehingga ke akhirnya.
“Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada semua para penyumbang dari kalangan pimpinan, ahli dan penyokong PAS yang telah memberikan segala bantuan dalam bentuk kewangan, tenaga kerja dari negeri-negeri dan kawasan-kawasan membantu serta sokongan moral sepanjang tempoh pilihan raya ini,” katanya.-UTUSAN










