KANGAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih terbuka dan tidak menutup pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, kerjasama itu tidak akan melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, pada masa ini BN hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti itu dijangka bertanding di lebih 36 kerusi.
Menurutnya, antara faktor, UMNO tidak akan bersama atau bekerjasama dengan GRS adalah kerana majoriti pemimpin parti tersebut adalah mereka yang telah meninggalkan UMNO.
“Kenapa kita tidak akan bersama dengan GRS, kerana majoriti pemimpin GRS dulu adalah orang UMNO yang kemudian meninggalkan UMNO. Kesan mereka meninggalkan UMNO itu, masih berbekas dan luka itu masih ada sehingga kini.
“Sama juga UMNO tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana majoriti mereka adalah orang UMNO yang telah meninggalkan parti,” katanya di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, PH akan memilih rakan kerjasama politik di Sabah berdasarkan potensi kemenangan mana-mana gabungan parti yang memasuki gelanggang PRN tersebut tidak lama lagi.
Keputusan itu akan dilakukan sama ada akan bersama BN atau GRS jika terdapat pertembungan pencalonan di sesebuah kawasan.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, meskipun BN Sabah menyuarakan kebimbangan tidak mahu wujud ‘duri dalam daging’ dalam kerjasama politik tersebut, PH mempunyai kebebasan untuk menentukan rakan gabungan yang sesuai.
Untuk rekod, BN Sabah sebelum ini mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17 tahun ini. Sementara baki 33 kerusi diberikan kepada PH.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau optimis BN akan menang lebih banyak kerusi dalam PRN Sabah berbanding hanya 14 kerusi sebelum ini.
Katanya, disebabkan BN hanya akan bekerjasama dengan PH menjadikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi itu lebih tinggi.
“Saya harap berapa jumlah kerusi pun yang kami tandingi, kami mampu menang majoriti daripada jumlah kerusi tersebut. Jika kerusi di seluruh Sabah adalah 73 dan kerjasama kami pula hanya dengan PH, jadi akan lebih separuhlah jumlah kerusi tersebut akan ditandingi UMNO.
“Meskipun kAMI optimis mampu memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya lalu, namun UMNO tidak boleh leka meskipun persiapan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu. Sebagai Ketua Sekretariat War Room UMNO, saya juga sudah selesai pergi ke 25 bahagian di Sabah bagi membantu,” katanya. – UTUSAN










