PARLIMEN: Tiada bantuan automatik rakyat Malaysia ditahan di luar negara

PARLIMEN: Tiada bantuan automatik rakyat Malaysia ditahan di luar negara

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua bentuk bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana kesalahan jenayah tidak akan disalurkan secara automatik, sebaliknya hanya diberikan atas permintaan individu berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk bantuan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas tahanan yang hanya akan dilakukan apabila dimohon secara rasmi oleh individu terbabit.

Katanya, setiap tindakan juga tertakluk kepada peraturan negara itu serta prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai hubungan konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara.

“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka.

“Bagaimanapun, ada juga kita (pejabat kedutaan) tidak tahu rakyat kita ditahan kerana ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai bantuan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dari segi sokongan kemanusiaan dan hak asasi bagi rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara.

Mohamad berkata, kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan, sebaliknya tanggungjawab itu terletak kepada keluarga individu berkenaan kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma kepada warganegara asing.

“Setakat 8 November lalu, sebanyak 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian.

“China pula merekodkan jumlah tertinggi penahanan warganegara iaitu 545 orang diikuti dengan Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10) serta sebilangan kecil di beberapa negara lain.

“Bagi pecahan mengikut kaum, 765 orang ialah Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN