PARLIMEN: PMKS terjejas, kerajaan perlu tubuh pasukan khas

PARLIMEN: PMKS terjejas, kerajaan perlu tubuh pasukan khas

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas susulan peningkatan kos dan tekanan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, banyak syarikat tempatan kini berdepan kesan langsung dan tidak langsung akibat dasar tarif baharu AS yang menyebabkan penurunan jumlah tempahan serta lambakan barangan murah dari negara ketiga di pasaran tempatan.

“Apabila negara ketiga tidak dapat menembusi pasaran AS, mereka melambakkan barangan di Malaysia dengan harga rendah sehingga menjejaskan perniagaan tempatan. 

“Ini memberi tekanan besar kepada PMKS yang sedia berdepan kos operasi tinggi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa Dewan Rakyat, hari ini.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu menubuhkan pasukan petugas khas dengan tujuh terma rujukan utama bagi memastikan PMKS terus berdaya saing dalam situasi semasa.

Antaranya, menjamin PMKS kekal menerima pesanan dan peluang perniagaan, mewajibkan pelabur serta kontraktor membeli barangan tempatan, mengawal peningkatan kos operasi serta mengelak lambakan barangan import di pasaran.

Guan Eng turut mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan penurunan kadar faedah, menyalurkan bantuan kewangan dan subsidi kepada sektor kritikal, serta meneroka pasaran eksport baharu bagi menggantikan pasaran AS.

Katanya, meskipun 60 peratus eksport Malaysia masih menikmati tarif sifar, baki 40 peratus terkesan dengan tarif timbal balik AS sebanyak 19 peratus, sekali gus menjejaskan daya saing eksport negara.

“AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia. Maka, kesan tarif ini perlu ditangani segera bagi mengelak kerugian berterusan kepada industri tempatan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47..

Di bawah perjanjian itu, AS bersetuju mengurangkan tarif ke atas Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus selaras dengan Executive Order 14257 yang ditandatangani Presiden Donald Trump pada April lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN