PARLIMEN: Perkukuh risikan, elak rusuhan berlaku

PARLIMEN: Perkukuh risikan, elak rusuhan berlaku

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keupayaan risikan bagi mengesan lebih awal perancangan unsur ekstrem yang cuba mengeksploitasi sentimen rakyat akan dipertingkatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan proaktif bagi mengelakkan daripada berlakunya rusuhan awam di negara ini seperti yang terjadi di Indonesia dan Nepal. 

Katanya, antara langkah dan strategi yang dilaksanakan bagi mengekalkan keamanan negara ialah memperkukuh pengumpulan maklumat dan pemantauan melalui risikan PDRM.

“Langkah ini membolehkan potensi ancaman terhadap keamanan dan kestabilan negara dikenal pasti lebih awal.

“Kerajaan turut meningkatkan pendekatan kolaborasi dengan agensi kerajaan, masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya isu berkaitan kos sara hidup, ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan dan isu lain dapat ditangani secara menyeluruh serta tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) berhubung langkah kerajaan dan strategi risikan bagi mendapatkan maklumat lebih awal sebelum berlaku sebarang perancangan kumpulan ekstrem.

Katanya, tahap kesiapsiagaan PDRM turut dipertingkat melalui latihan kawalan rusuhan yang menekankan aspek disiplin, penggunaan kekerasan minimum dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta penugasan pasukan khas.

Katanya, ini termasuk penggunaan teknologi moden seperti kamera badan, dron, pemantau dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan kecekapan, pemantauan serta respons.

“Kerajaan turut mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memastikan penganjuran perhimpunan tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

“Langkah-langkah ini sejajar dengan pendekatan kerajaan untuk memastikan keamanan negara terpelihara dan sebarang isu atau pelanggaran peraturan dapat ditangani secara menyeluruh mengikut undang-undang sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN