Parlimen: MOT sasar bentang penubuhan MTSB tahun hadapan

Parlimen: MOT sasar bentang penubuhan MTSB tahun hadapan

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka memuktamadkan keputusan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) pada akhir tahun ini sebelum dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, memorandum Jemaah Menteri berkaitan penubuhan agensi itu sedang dimuktamadkan dan dijangka dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

Katanya, selepas kelulusan prinsip diperoleh, draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dapat disediakan oleh agensi terlibat sebelum dibawa untuk pembentangan.

“Penubuhan MTSB akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Harapan saya, ia dapat dibawa ke Jemaah Menteri sebelum penghujung tahun ini.

“Selepas memperoleh kelulusan prinsip, draf RUU dapat disediakan oleh agensi terlibat dan seterusnya kita sasarkan untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas-Setiu) mengenai garis masa memuktamadkan penubuhan MTSB.

Dalam pada itu, kata Anthony, MTSB akan berfungsi sebagai sebuah agensi siasatan yang bebas, dengan mengambil kira amalan terbaik agensi antarabangsa.

“Kita turut mengambil kira pandangan serta perbandingan dengan agensi antarabangsa dan akan meneliti amalan terbaik (best practices) mereka.

“Dari segi pelaporan, kementerian tidak akan mengubah, mengedit atau meminda apa-apa dapatan mereka. Laporan akan dibentangkan secara terbuka, sebagaimana yang telah kita lakukan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN