PARLIMEN: Lebih 84,000 banduan seluruh negara, lebihi kapasiti maksimum

PARLIMEN: Lebih 84,000 banduan seluruh negara, lebihi kapasiti maksimum

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 84,000 banduan kini ditempatkan di penjara seluruh negara sekali gus melebihi kapasiti maksimum seramai 76,000 orang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 84,143 banduan ketika ini berada dalam fasiliti penjara manakala 6,640 lagi bagi menjalani pemulihan dalam komuniti di luar penjara.

Katanya, oleh itu kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh dan berstrategi merangkumi aspek penguatkuasaan serta pemulihan bagi menangani isu kesesakan penjara akibat kesalahan dadah.

Katanya, penubuhan Pusat Koreksional Chenderiang di Tapah, adalah satu langkah signifikan untuk mengasingkan pesalah jenayah dadah yang disabitkan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksysn 39C Akta Dadah Berbahaya (1952).

“Kapasiti sebenar penjara adalah 76,311 orang. Ini menunjukkan berlaku kesesakan dan lebihan sebanyak 7,872 orang daripada keseluruhan kapasiti.

“Jadi pengasingan ini membolehkan pelaksanaan rawatan dan program pemulihan yang lebih fokus dan berpusat. Seterusnya, kita persiapkan banduan untuk menyertai program pemulihan dalam komuniti,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berhubung langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengurangkan kesesakan penjara akibat kesalahan dadah.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, usaha itu bukan saja membantu mengurangkan kesesakan di penjara utama malah berpotensi menurunkan kadar pesalah berulang.

Katanya, inisiatif pemulihan turut diperluas melalui pelaksanaan program berasaskan komuniti seperti sistem parol dan pembebasan banduan secara berlesen.

“Program ini memberi peluang kepada banduan yang layak untuk menjalani proses pemulihan di luar penjara dalam persekitaraan yang terkawal dan dipantau.

“Ia selaras dengan hala tuju penjara supaya dua pertiga banduan yang layak dapat mengikuti program pemulihan komuniti sekali gus mengurangkan tekanan kapasiti penjara dan menyokong integrasi semula ke dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN