PARLIMEN: Kesal ada pihak mahu rundingan damai Thailand-Kemboja gagal

PARLIMEN: Kesal ada pihak mahu rundingan damai Thailand-Kemboja gagal

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat segelintir pihak di negara ini yang dilihat seolah-olah berharap rundingan Perjanjian Damai Thailand–Kemboja gagal hanya untuk menonjolkan kononnya kerajaan Malaysia tidak berjaya di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap sedemikian amat merugikan dan tidak bertanggungjawab, memandangkan usaha rundingan damai itu melibatkan keamanan serantau dan turut memberi kesan langsung kepada kestabilan Malaysia.

Katanya, perkara itu amat mengecewakan kerana ia seolah-olah menunjukkan masih ada pihak yang lebih gemar melihat kegagalan daripada menyokong usaha kerajaan mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

“Ini satu sikap yang sangat merugikan. Janganlah berdoa supaya rundingan gagal hanya untuk menonjolkan kegagalan kerajaan sendiri. Saya berdoa supaya keamanan dikekalkan kerana jika mereka bergaduh, kesannya akan turut dirasai oleh Malaysia.

“Saya juga telah mengarahkan laporan penuh disediakan segera kepada Parlimen oleh pihak ketenteraan supaya Malaysia dapat terus membantu usaha damai ini,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi tekanan antarabangsa susulan laporan media asing berhubung isu hubungan diplomatik dan ekonomi serantau.

Anwar turut mengulas kenyataan bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang menyuarakan kebimbangan terhadap peranan Malaysia dalam rundingan damai tersebut.

Katanya, kebimbangan yang disuarakan Susilo itu mungkin berpunca daripada salah faham terhadap isi kandungan sebenar perjanjian damai berkenaan.

“Beliau risau seolah-olah apa yang dipersetujui Malaysia dipaksakan ke atas Indonesia. Itu tidak benar.

“Kita bersetuju dengan beberapa pengecualian penting termasuk fasal 5.2 dan 7.3 yang mengiktiraf dasar negara kita, keselamatan, undang-undang, peraturan tempatan, dasar bumiputera serta perlindungan terhadap kepentingan tempatan.

“Perbezaan pendapat itu perkara biasa. Dalam mesyuarat Kabinet pun, kita berbincang panjang sebelum membuat keputusan akhir,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pengantara neutral dalam memastikan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja dapat diteruskan secara adil serta bebas daripada campur tangan mana-mana pihak luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×