KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengutip sebanyak RM521.35 juta duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) sejak pelaksanaannya pada 1 Julai 2019 sehingga November 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan berkenaan merangkumi RM447.54 juta bagi tempoh 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2024, manakala RM73.81 juta lagi dikumpulkan dari Januari hingga November 2025.
Katanya, kesemua hasil tersebut dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.
“Pengenaan duti eksais ke atas SSB mula berkuat kuasa pada kadar 40 sen seliter sebelum dinaikkan kepada 50 sen seliter pada 1 Januari 2024, seterusnya 90 sen seliter bermula 1 Januari 2025.
“Kenaikan kadar itu merupakan langkah kerajaan mengurangkan pengambilan minuman tinggi gula serta menyokong kempen War on Sugar oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai jumlah cukai minuman manis (sugar-sweetened beverage) yang telah dikutip dan setakat mana kutipan ini telah disalurkan kepada pembekalan ubat diabetes dan pelestarian Program Dialisis Peritoneal.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebahagian tambahan hasil daripada kenaikan duti berkenaan diperuntukkan kepada KKM bagi membiayai perbelanjaan kesihatan awam selaras dengan komitmen kerajaan melalui Belanjawan 2025.
Katanya, ia termasuk penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibitors untuk rawatan diabetes dan meningkatkan penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal bagi pesakit buah pinggang tahap akhir.
“Bagi 2025, kerajaan telah menyalurkan RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas SSB kepada KKM bagi pelaksanaan program advokasi War on Sugar, pembelian ubat SGLT-2 untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus serta penyediaan kemudahan Dialisis Peritoneal,” katanya. – UTUSAN










