PARLIMEN: Lebih 5,000 guru bersara awal secara pilihan sejak 2021

PARLIMEN: Lebih 5,000 guru bersara awal secara pilihan sejak 2021

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 5,293 guru memilih untuk bersara awal secara pilihan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2021 hingga 2024.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu bersamaan 1.24 peratus daripada keseluruhan bilangan pengisian jawatan guru di Kementerian Pendidikan (KPM).

“Berdasarkan data KPM, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan mereka tidak lagi berminat meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.

“Masalah keluarga pula mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan (7.69 peratus), beban tugas (5.37 peratus) dan masalah peribadi (2.07 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) mengenai sebab utama guru memilih untuk bersara awal termasuk sama ada beban pengisian data prestasi murid dan tugasan pentadbiran lain menjadi penyumbang.

Fadhlina berkata, IPG telah meningkatkan ambilan calon PISMP kepada 11,000 orang pada 2025 berbanding 6,300 calon pada 2024 sebagai langkah jangka panjang memastikan pengisian guru pada masa depan.

Katanya, KPM juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban tugas guru, antaranya ialah tujuh Langkah Segera Kesejahteraan Guru sejak 2023 yang memberi fokus kepada pedagogi, pentaksiran, pengoperasian sekolah dan pengurusan pentadbiran.

“KPM juga menghapuskan tugas bukan akademik yang tiada punca kuasa sah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) serta memperkenalkan deskripsi tugas yang jelas.

“Inisiatif MySTEP turut dilaksanakan bagi menempatkan Pembantu Guru di sekolah dan teknologi turut dimanfaatkan melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) untuk mengurangkan pengisian data berulang.

“Pelantar DELIMa pula menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital dan latihan kejurulatihan bagi menyokong guru secara lebih efektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×