Nafkah ibu bapa, mekanisme kutipan SST antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Nafkah ibu bapa, mekanisme kutipan SST antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan nafkah ibu bapa menurut hukum syarak serta mekanisme pengutipan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) atau cukai lain daripada transaksi atas talian melibatkan penjual atau portal luar negara menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Tan Hong Pin (PH–Bakri) meminta Menteri Kewangan menjelaskan mekanisme pengutipan SST atau cukai lain daripada transaksi atas talian yang melibatkan penjual luar negara.

Beliau turut meminta jumlah kutipan melibatkan platform atas talian bagi tahun 2021 hingga 2025, selain memohon penjelasan mengenai barangan import melalui portal luar negara yang dikecualikan SST serta justifikasinya.

Sementara itu, Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam bagi mewajibkan nafkah ibu bapa sebagaimana dituntut syarak khususnya apabila ibu bapa berada dalam keadaan uzur, tidak berpendapatan atau tidak berupaya menyara diri sendiri.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH–Bandar Kuching) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung pelan kerajaan merangka undang-undang baharu bagi menangani kejadian buli termasuk insiden membabitkan kanak-kanak yang semakin berleluasa.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sambungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN