PARLIMEN: Kajian pemansuhan hukuman mati bermula Januari 2026

PARLIMEN: Kajian pemansuhan hukuman mati bermula Januari 2026

M. KULASEGARAN - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan kajian mengenai pemansuhan sepenuhnya hukuman mati bermula Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pemansuhan sepenuhnya hukuman mati merupakan satu keputusan dasar yang memerlukan penelitian terperinci oleh sebuah kumpulan kerja khusus sebelum kerajaan dapat memutuskan hala tuju seterusnya.

Tambah beliau, kerajaan berharap jawatankuasa khas yang bakal dibentuk pada Januari 2026 dapat mengemukakan dapatan menyeluruh yang dapat memandu kerajaan ke arah keputusan dasar lebih jelas dan bertanggungjawab.

“Kajian ini dijadual bermula Januari 2026 dan diperuntukkan tempoh empat bulan. Namun kerajaan bersedia melanjutkan tempoh itu sekiranya perlu bagi memastikan dapatan yang komprehensif dan seimbang.

“Kajian ini penting supaya sebarang keputusan mengenai hukuman mati dibuat dengan teliti berdasarkan data, perkembangan antarabangsa dan keperluan sistem keadilan negara,” di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor) yang membangkitkan trend semasa di mana hukuman alternatif dilihat diketepikan dalam kebanyakan kes semakan kecuali bagi kes pembunuhan sehingga menimbulkan persoalan sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati serta jumlah terkini banduan menerima hukuman tersebut di penjara.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, setakat 11 November tahun ini, 97 individu yang disabitkan hukuman mati masih belum menjalani hukuman tersebut.

“Mereka berada pada pelbagai peringkat proses undang-undang termasuk menunggu keputusan rayuan terakhir atau berpeluang mengemukakan permohonan pengampunan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN