KUALA LUMPUR: Disiplin fiskal dan pengurusan ekonomi negara yang teratur mendorong Ringgit Malaysia (RM) merekodkan prestasi terbaik di seluruh Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan RM berbanding Dollar Amerika Syarikat (AS$) amat menyakinkan dengan peningkatan sebanyak 8.2 peratus sehingga 14 November lalu.
“Kalau daripada segi domestik, tentunya kerana dasar yang dilaksanakan sejak awal termasuk penyasaran subsidi. Sebelum ini, penggunaan dana untuk memberi subsidi tidak memberi faedah langsung kepada rakyat dan perkara itu telah kita hentikan.
“Sebab itu penyasaran subsidi seperti RON95 memberi kesan yang sangat positif kepada Ringgit,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung punca utama yang mendorong pengukuhan nilai Ringgit.
Anwar berkata, penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembangunan negara adalah langkah yang tepat dan wajar.
“Korea Selatan dan beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom turut mengambil langkah yang sama. Ini bermakna keputusan kita adalah wajar dan tidak bertentangan walaupun ada beberapa ahli ekonomi kita yang mempertikainya,” katanya. – UTUSAN










