ART: Malaysia bebas jalin perdagangan dengan negara lain

ART: Malaysia bebas jalin perdagangan dengan negara lain

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bebas mengadakan rundingan atau perdagangan dengan mana-mana negara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat-Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan ART mengehadkan Malaysia dalam membuat keputusan dasar ekonomi, perdagangan dan pelaburan adalah tidak benar.

Katanya, Malaysia tetap mengekalkan kedaulatan dalam dasar monetari dan keputusan pelaburan strategik meskipun wujud tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa sektor khususnya nadir bumi, semikonduktor dan mata wang.

“Malaysia kekal bebas bekerjasama dengan mana-mana rakan strategik termasuk dalam sektor seperti nadir bumi, semikonduktor dan kewangan yang melibatkan penggunaan mata wang tempatan.

“Saya setuju bahawa tekanan AS itu relatif lebih besar. Bukan sahaja kepada kita, malah kepada semua, satu dunia. Tetapi soal kemerdekaan, maruah, soal gadai, itu semuanya tidak betul,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) berhubung kebimbangan mengenai kesan ART terhadap kebebasan Malaysia dalam menentukan kerjasama ekonomi dengan negara lain.

Mengulas mengenai sektor semikonduktor, Anwar berkata, sekatan eksport cip ke China hanya terpakai kepada syarikat milik AS kerana ia merupakan syarat negara asal mereka.

“Apa yang kita setuju dalam ART? Jika syarikat itu milik AS, kita tidak dibenarkan mengeksport cip ke China. Pelaburan mereka dibenarkan masuk ke Malaysia tetapi syaratnya eksport ke China tidak dibenarkan dan kita tetap memberi kerjasama.

“Namun, jika pelaburan datang daripada Jerman atau China untuk menghasilkan cip dan mengeksport ke China, ia dibenarkan,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia juga meneruskan kerjasama dengan China termasuk dalam projek pengembangan bekalan air Sungai Perak hingga ke Pulau Pinang tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana pihak.

“Apakah yang menghalang kita daripada bekerjasama dengan negara China? Tidak ada,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) kekal bebas menentukan dasar monetari negara kerana rundingan dengan AS hanya melibatkan konsultasi tertentu.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi seperti BRICS juga dibuat secara berdaulat meskipun mendapat tentangan AS.

“Malaysia boleh berbeza pendapat dan tetap meneruskan rundingan serta perdagangan dengan pelbagai negara tanpa kehilangan kebebasan ekonomi atau ruang dasar monetari,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN