Kerajaan perlu gantung proses ratifikasi ART dengan AS

Kerajaan perlu gantung proses ratifikasi ART dengan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).

Desakan itu dibuat oleh empat Ahli Parlimen kerajaan iaitu Wong Chen (Subang), Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif import Presiden AS, Donald Trump kerana didapati tidak berperlembagaan.

“Memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS bahawa semua tarif tersebut pada hakikatnya tidak sah, ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio,” kata mereka ketika sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mereka turut menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka langkah dan proses ratifikasi ART antara Malaysia dan AS yang bercadang akan dilaksanakan.

“Kami juga meminta kerajaan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan Mahkamah Agung AS dan membentangkan pendapat tersebut kepada Ahli Parlimen.

“Kerajaan perlu memaklumkan kepada Ahli Parlimen implikasi kos-manfaat berhubung tarif global Trump sebanyak 15 peratus yang baru diumumkan,

“Selain itu, mengambil maklum tarif tersebut hanya terpakai selama 150 hari dan mungkin tertakluk kepada satu lagi perbicaraan di Mahkamah Agung AS,” kata mereka.

Kerajaan juga perlu memaklumkan perkembangan berkaitan potensi pemulangan semula tarif berbilion dolar serta memastikan pengeksport Malaysia yang telah menanggung sebahagian daripada tarif berkenaan turut menerima pemulangan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen menandatangani sebarang perjanjian perdagangan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara dalam siri pertemuan dengan Trump pada masa akan datang.

“Kami juga mengulangi pendirian bahawa suatu suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas mengenai ART perlu ditubuhkan secepat mungkin bagi menyiasat bagaimana ART tersebut telah dirunding dan ditandatangani,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijangka membentangkan kertas laporan mengenai isu tarif timbal balik AS.

Ia selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif import yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, buat masa ini kerajaan mengambil pendekatan untuk menunggu laporan terperinci daripada MITI yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN