KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada Oktober tahun lalu masih belum diratifikasi oleh kedua-dua negara susulan perubahan landskap perundangan perdagangan di Washington.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Mahkamah Agung AS (SCOTUS) pada 20 Februari lalu memutuskan pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Katanya, keputusan tersebut secara langsung membatalkan tarif 19 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas negara ini bermula 1 Ogos tahun lalu.
“Bagi memastikan tarif tambahan terus dikenakan, Presiden Trump kemudiannya mengumumkan tarif global baharu pada kadar 10 peratus ke atas semua barangan import ke AS di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 yang berkuat kuasa pada 24 Februari 2026.
“Bagaimanapun, langkah itu hanya bersifat sementara kerana peruntukan tersebut hanya membenarkan tarif dikenakan selama 150 hari dan dijangka tamat pada 24 Julai ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status terkini pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Johari berkata, AS juga sedang menjalankan siasatan perdagangan terhadap 60 negara yang berdagang dengan negara itu termasuk Malaysia.
Beliau berkata, siasatan berkenaan dijalankan menilai empat perkara termasuk akses kapasiti, isu buruh paksa, alam sekitar dan subsidi kerajaan.
“Malaysia dikenakan dua perkara daripada empat itu iaitu aspek kapasiti dan buruh paksa.
“Bagi aspek akses kapasiti, siasatan masih dilakukan manakala bagi isu buruh paksa, proses penilaian hampir selesai dan beberapa indikatif bahawa 24 Julai ini, dia (AS) akan mengenakan 10 peratus tarif untuk isu buruh.
“Cadangan kadar tarif yang lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan di bawah ART, termasuk aspek berkaitan buruh paksa,” katanya.
Johari berkata, Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengambil bahagian secara aktif dalam siasatan Seksyen 301 dengan mengemukakan komen bertulis, menyertai sesi pendengaran awam serta mengadakan konsultasi bersama pihak USTR.
“Kerajaan akan meneruskan rundingan dengan pihak USTR bagi memastikan kepentingan dan pandangan Malaysia diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan negara berhubung isu buruh paksa katanya, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa (IATFL) yang dipengerusikan MITI.
“Pasukan petugas itu bertanggungjawab mengkaji dan merangka mekanisme bagi melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










