PARLIMEN: Defisit dijangka turun kepada 3.8 peratus tahun depan

PARLIMEN: Defisit dijangka turun kepada 3.8 peratus tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding lima peratus pada 2023, hasil pelaksanaan pelan konsolidasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, prestasi itu lebih baik daripada sasaran awal 4.3 peratus dan dijangka terus menurun kepada 3.8 peratus pada 2025 serta 3.5 peratus pada 2026.

Menurutnya, langkah itu membuktikan keupayaan kerajaan mengurus fiskal secara berhemat dan berdisiplin tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat, selain memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

“Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan hutang negara turut berkurang daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 6.4 peratus pada 2024 dan dijangka terus menurun kepada sekitar enam peratus tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik) yang meminta penjelasan mengenai strategi kerajaan menurunkan kadar defisit fiskal negara yang kini melebihi lima peratus daripada KDNK serta kesannya terhadap perbelanjaan kebajikan rakyat luar bandar di Dewan Rakyat, hari ini.

Hui Ying berkata, melalui pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang lalu, kerajaan kekal komited untuk mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].

Dalam usaha meningkatkan hasil negara, katanya, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan e-Invois secara berfasa serta perluasan skop cukai jualan, namun pada masa sama mengekalkan pengecualian terhadap barangan keperluan asas bagi melindungi rakyat.

“Pelbagai barangan seperti ayam, buah-buahan tempatan dan beras dikecualikan cukai, manakala senarai pengecualian kini merangkumi 1,826 barangan. Langkah ini membantu mengekang tekanan harga keperluan asas dan menyumbang kepada kadar inflasi rendah, iaitu 1.8 peratus bagi keseluruhan 2024 dan 1.5 peratus pada September 2025,” katanya.

Menurutnya, Malaysia kini antara negara dengan kadar inflasi terendah di rantau ini, hasil pendekatan fiskal berdisiplin dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN