Airbus cipta rekod penerbangan tanpa henti pesawat baharu Qantas

Airbus cipta rekod penerbangan tanpa henti pesawat baharu Qantas

PESAWAT Qantas A350-1000ULR tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOULOUSE: Sebuah pesawat Airbus A350 yang diubah suai selamat mendarat di Perancis selepas melengkapkan penerbangan ujian selama 24 jam tanpa henti dari Australia, sebelum menyertai armada Qantas pada tahun hadapan.

Penerbangan sejauh 23,076 kilometer (km) itu merentasi tiga benua dan dua lautan, serta menyaksikan dua kali fenomena matahari terbit dan terbenam menjadi antara penerbangan yang paling ramai ditonton menerusi laman pemantauan Flightradar24.

Ujian ini merupakan langkah penting sebelum syarikat penerbangan Australia, Qantas, menerima pesawat A350-1000ULR pertamanya pada April tahun hadapan yang bakal disusuli dengan 11 buah pesawat lagi bagi menjayakan perkhidmatan penerbangan tanpa henti dari Australia ke destinasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Singkatan ULR pada model tersebut bermaksud jarak sangat jauh, satu pencapaian yang dicapai menerusi penambahan tangki bahan api pusat bahagian belakang berkapasiti 20,000 liter pada model A350-1000 keluaran Airbus.

Penerbangan dari Australia ke Perancis itu mengambil masa tepat 24 jam dan 24 minit.

Dalam penerbangan pergi minggu lalu dari Toulouse ke Melbourne, pesawat ujian berkenaan menempuh perjalanan sejauh 17,000 km dalam tempoh 19 jam dan 12 minit.

Penerbangan pulang tersebut mensimulasikan laluan yang bakal dilalui oleh pesawat berkenaan sebaik sahaja ia beroperasi secara komersial kelak. 

Qantas merancang untuk mula menawarkan penerbangan terus tanpa henti antara London dan Sydney bermula Oktober 2027, sebelum memperluaskannya ke laluan antara Sydney dan New York.

Pesawat ujian itu dikendalikan oleh lapan juruterbang daripada bahagian ujian Airbus bersama dua juruterbang Qantas, serta turut diiringi oleh dua jurutera Airbus.

Antara aspek yang dinilai sepanjang penerbangan ujian tersebut termasuk reka bentuk senibina di sekeliling tangki bahan api tambahan, penambahbaikan bagi mengurangkan kebingitan kabin serta sistem peredaran udara dalam pesawat.

Projek Sunrise milik Qantas yang menggunakan pesawat jarak sangat jauh ini dirancang sejak sembilan tahun lalu, namun kerap berdepan penangguhan sebelum ini.

Menurut rekod semasa, penerbangan komersial terpanjang di dunia dipegang oleh laluan Singapore Airlines yang menghubungkan Singapura dan New York, merentasi jarak 15,350km dengan tempoh penerbangan melebihi 18 jam menggunakan varian A350 yang lain. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN