RCI TH: Syarat deposit pendaftaran haji perlu dinaikkan daripada RM1,300

RCI TH: Syarat deposit pendaftaran haji perlu dinaikkan daripada RM1,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat deposit minimum pendaftaran haji perlu dinaikkan daripada RM1,300 kepada kadar bayaran haji semasa.

Berdasarkan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, langkah tersebut penting bagi bagi memastikan kelestarian kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) serta tidak menjejaskan pulangan hibah kepada lebih sembilan juta pendeposit.

Laporan dapatan RCI itu mendedahkan, kos haji terus meningkat daripada RM15,555 bagi setiap jemaah pada 2003 kepada RM25,540 pada 2022 dan dijangka mencecah RM37,729 pada 2030 sebelum meningkat sehingga RM50,000 menjelang 2050.

Katanya, peningkatan itu menyebabkan LTH menanggung beban Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang semakin besar kerana perbezaan antara kos sebenar haji dengan bayaran yang dikenakan kepada jemaah dibiayai menggunakan keuntungan pelaburan LTH.

“Jumlah HAFIS meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada hampir RM300 juta pada 2019, walaupun bayaran haji bagi jemaah kali pertama kekal RM9,980 sepanjang tempoh 2009 hingga 2021.

“Pada 2022 kerajaan bersetuju dengan cadangan LTH memperkenalkan kadar bayaran baharu iaitu RM10,980 bagi jemaah kumpulan B40 dan RM12,980 bagi jemaah bukan B40,” kata laporan itu yang didedahkan malam tadi.

Namun RCI mendedahkan kenaikan itu masih belum mampu mengurangkan beban subsidi apabila HAFIS diunjurkan terus meningkat daripada RM376.8 juta pada 2022 kepada RM742.47 juta setahun menjelang 2030.

“LTH masih perlu menanggung hampir 57 peratus daripada kos haji pada 2022 dan jumlah itu dijangka meningkat melebihi 65 peratus menjelang 2030 jika kadar bayaran haji tidak disemak semula,” menurut laporan itu.

RCI berkata, HAFIS yang kini dianggarkan sekitar RM400 juta setahun bersamaan pengurangan kira-kira 0.4 peratus kadar hibah yang boleh diagihkan kepada pendeposit.

Menurutnya, peningkatan subsidi secara berterusan akan menjejaskan keupayaan LTH membayar hibah yang munasabah, sekali gus berisiko menyebabkan pendeposit yang mempunyai simpanan besar mengalihkan dana mereka ke instrumen pelaburan lain.

Laporan itu turut menyatakan LTH memerlukan sekurang-kurangnya RM60 bilion dana bagi mengekalkan tahap subsidi haji sedia ada dan keperluan itu akan terus meningkat sekiranya kos haji terus naik.

Sehubungan itu, RCI mengesyorkan syarat deposit minimum untuk melayakkan seseorang mendaftar haji secara automatik dinaikkan daripada RM1,300 kepada jumlah bayaran haji semasa, iaitu RM12,980.

“Langkah ini bukan sahaja mampu menggalakkan budaya menabung secara lebih berdisiplin, malah mengukuhkan fungsi asal LTH sebagai institusi simpanan bagi tujuan mengerjakan haji,” katanya.

RCI turut mencadangkan pengeluaran wang daripada akaun simpanan itu dihadkan dengan syarat notis awal sebulan bagi membantu LTH mengurus kecairan dana dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.

“Pada masa sama, bantuan kewangan haji disyorkan hanya diberikan kepada jemaah yang benar-benar memerlukan, manakala mereka yang berkemampuan membayar sepenuhnya kos haji selaras dengan prinsip istito’ah.

“Sebelum subsidi diperkenalkan pada 2001, konsep bantuan berdasarkan kemampuan kewangan telah diamalkan oleh Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji dan diteruskan oleh LTH,” katanya.

Laporan itu turut menyifatkan syarat simpanan minimum RM1,300 ketika ini terlalu rendah kerana seseorang hanya perlu menyimpan jumlah itu untuk mendaftar haji sebelum menambah baki apabila dipanggil menunaikan ibadah berkenaan.

“Melalui kaedah sedia ada, pendeposit hanya menyumbang sebahagian kecil kos tetapi menerima pakej haji yang nilainya jauh lebih tinggi hasil subsidi LTH.

“Syarat simpanan penuh sebelum pendaftaran haji juga mampu mengurangkan tempoh menunggu yang kini dianggarkan mencecah 135 tahun kepada sekitar 33 tahun, selain menggalakkan orang ramai membuat simpanan lebih awal,” katanya.

Selain itu, RCI menggesa LTH melaksanakan pelan komunikasi yang menyeluruh bagi memberi kefahaman kepada pendeposit mengenai perubahan dasar subsidi dan kepentingan meningkatkan simpanan untuk tujuan haji.

RCI turut mengingatkan bakal jemaah supaya tidak lagi mengharapkan subsidi menyeluruh tanpa syarat, sebaliknya bantuan perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Dalam masa sama, LTH disaran memperkukuh persediaan operasi bagi memanfaatkan pertambahan kuota haji yang dirancang Kerajaan Arab Saudi menerusi Saudi Vision 2030, yang dijangka menyaksikan kuota Malaysia meningkat daripada sekitar 30,000 kepada 60,000 jemaah menjelang 2030. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN