KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka pelan pelaksanaan Bank Data Nasional yang dijadualkan dilancarkan pada tahun depan.
Timbalan Menteri Digital, Wilson Ugak Kumbong berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian menyeluruh terhadap ekosistem data negara serta keperluan semasa bagi merealisasikan langkah berkenaan.
Katanya, pelaksanaan itu merangkumi pembangunan format data piawai bagi semua agensi kerajaan, penilaian terhadap keupayaan infrastruktur dan kemahiran tenaga kerja berkaitan data, serta reka bentuk seni bina teknologi dan platform yang akan menyokong pembangunan sistem berkenaan.
“Pendekatan ini akan memastikan sistem kerajaan dapat berkongsi data dengan lebih selamat dan efisien, sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap pengurusan maklumat kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai garis masa pembangunan Bank Data Nasional serta bila ia dijangka beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, Ugak berkata, beberapa protokol utama akan diterapkan dalam pelaksanaan bank data tersebut, termasuk penggunaan data yang disahkan daripada sumber yang dipercayai serta keperluan mendapatkan kebenaran pengguna secara jelas bagi memastikan integrasi yang selamat dan berkesan antara repositori data nasional serta sistem MyGov.
“Pada masa yang sama, bantuan kerajaan dapat disasarkan dengan lebih tepat berasaskan data yang sahih dan terkini, sekali gus membantu mengenal pasti penerima sebenar serta mengurangkan ketirisan dan pertindihan dalam agihan bantuan,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan turut meneroka penggunaan infrastruktur sedia ada seperti Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dan MyGovNet bagi mengurangkan kos serta mengoptimumkan penggunaan sumber.
“Kawalan keselamatan data akan kekal menjadi keutamaan utama dan akan dilaksanakan selaras dengan Akta Perkongsian Data 2025,” katanya. – UTUSAN











