PARLIMEN: 20,141 guru baharu ditempatkan tahun ini

PARLIMEN: 20,141 guru baharu ditempatkan tahun ini

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 20,141 guru baharu telah dan akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, seramai 10,045 guru baharu telah ditempatkan di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) manakala 10,096 lagi daripada pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) akan mula bertugas pada November 2025.

Katanya, penempatan guru dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira opsyen mata pelajaran, kekosongan jawatan, enrolmen murid dan keperluan perkhidmatan termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“KPM komited menyelesaikan isu kekurangan guru yang berpunca antaranya daripada persaraan awal serta faktor lain yang menjejaskan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran sekali gus meningkatkan beban tugas guru.

“Sebagai langkah jangka panjang, KPM meningkatkan pengambilan calon PISMP kepada 11,000 orang pada 2025, berbanding 6,300 orang pada tahun sebelumnya bagi memastikan bekalan guru kekal mencukupi” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) yang meminta penjelasan mengenai langkah KPM menangani beban kerja guru serta penempatan tenaga pengajar di sekolah yang memerlukan perhatian lebih.

Fadhlina berkata, KPM turut memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui penubuhan sekretariat bersama sejak Mac lalu sebagai strategi menyeluruh untuk menoktahkan isu kekurangan guru.

“Selain itu, proses pengambilan dipercepatkan menerusi pelaksanaan pengambilan guru tetap dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan sepanjang tahun,” katanya.

Mengulas usaha mengurangkan beban kerja guru, Fadhlina berkata, KPM menambah baik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dengan mengembalikan fungsi asalnya untuk merekod salah laku dan tindakan disiplin sahaja sekali gus menghapuskan keperluan mencatat amalan baik murid yang sebelum ini menambah tekanan kepada guru.

Katanya, langkah itu memberi kelegaan besar kepada warga pendidik dan membolehkan tumpuan diberikan kepada pengajaran serta persediaan pelaksanaan kurikulum baharu pada 2026 dan 2027.

“KPM turut memperkukuh pelaksanaan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) bagi menyeragamkan pengurusan sekolah serta memperjelas peranan antara guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

“Dengan deskripsi tugas yang lebih jelas serta pemantauan rapi oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), tugas pentadbiran kini dapat dilaksanakan oleh pihak yang sepatutnya.

“Selain itu, pelaksanaan Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) Pembantu Guru (MyPG) sejak April 2025 telah menempatkan 564 pembantu guru di 282 sekolah menengah bagi membantu kerja perkeranian, pengurusan peperiksaan, program sekolah dan kokurikulum sekali gus meringankan tugasan guru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN