Pangsapuri Ampang Jajar alami gegaran akibat gempa bumi

Pangsapuri Ampang Jajar alami gegaran akibat gempa bumi – bomba

ANGGOTA bomba memeriksa keadaan sebuah pangsapuri di Ampang Jajar, Butterworth, Pulau Pinang selepas menerima panggilan berhubung kejadian gegaran yang berlaku di kawasan tersebut, hari ini.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Satu gegaran melibatkan struktur bangunan kediaman dilaporkan berlaku di kawasan pangsapuri Ampang Jajar di sini susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.5 magnitud yang melanda kawasan luar Pantai Barat Utara Sumatera di Indonesia, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung gegaran itu kira-kira pukul 1.36 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) turut dihantar ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan dan selepas satu ‘size up’ dilakukan, kami mendapati hanya terdapat gegaran kecil sahaja seperti mana yang dilaporkan.

“Insiden tersebut juga tidak melibatkan mangsa dan tiada sebarang kerosakan dikesan berlaku pada bangunan tersebut,” katanya yang memberitahu, operasi tamat kira-kira pukul 2.10 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan sebelum itu memaklumkan, pusat gempa bumi tersebut dikesan di 2.7 darjah utara dan 95.9 darjah timur pada kedalaman 57 kilometer (km) dengan jarak 8 km selatan dari Simeulue, Indonesia.

Katanya, walaupun gegaran itu dirasai oleh negeri-negeri di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN