Pampasan kes kehilangan Amri, Pastor Koh ikut asas tuntutan keluarga

Pampasan kes kehilangan Amri, Pastor Koh ikut asas tuntutan keluarga

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbezaan jumlah pampasan diputuskan mahkamah dalam kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh adalah disebabkan oleh asas tuntutan undang-undang yang berlainan dikemukakan oleh kedua-dua keluarga.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keluarga Raymond Koh mengemukakan tuntutan berdasarkan asas kehilangan secara paksa atau forced disappearance seperti dinyatakan dalam dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Keluarga Amri tidak menggunakan asas tersebut dalam tuntutan awal mereka. Ini menjelaskan mengapa jumlah pampasan yang diberikan mahkamah adalah berbeza bagi kedua-dua kes,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN – Jerlun) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memperkenalkan undang-undang khusus untuk mentarifkan ‘kehilangan paksa’ sebagai kesalahan jenayah dan mewajibkan siasatan semula terhadap kes-kes orang hilang lain yang masih belum diselesaikan.

Saifuddin berkata, secara statistiknya, sembilan daripada setiap 10 laporan orang hilang di negara ini berjaya dikesan semula sama ada hidup atau telah meninggal dunia.

Katanya, hanya 10 peratus yang tidak ditemui dan kedua-kedua kes ini termasuk dalam kategori tersebut iaitu hilang secara paksa.

“Undang-undang dan peraturan sedia ada memadai untuk menguruskan kes-kes kehilangan, namun keputusan mahkamah yang mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari sekiranya keberadaan Raymond Koh tidak dikemukakan memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

“Ini juga antara pertimbangan profesional Peguam Negara dalam memfailkan rayuan. Ia bukan bermaksud kerajaan mengecilkan isu kehilangan atau nyawa, tetapi memastikan setiap keputusan diteliti mengikut prinsip undang-undang dan keadilan.

“Kerajaan kekal komited mencari kebenaran dalam kedua-dua kes dan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
Dalam keputusan pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan PDRM gagal menjalankan siasatan sewajarnya dalam kes kehilangan Amri dan memerintahkan pampasan RM3.3 juta dibayar kepada isterinya.

Bagi kes Pastor Koh, mahkamah turut memutuskan kerajaan gagal menjalankan siasatan sewajarnya dan mengarahkan pampasan RM37 juta dibayar, selain polis diarahkan melaporkan perkembangan siasatan setiap dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN