KUBANG PASU: Seorang pemandu lori nekad menyeludup masuk bunga ganja bernilai kira-kira RM583,500 ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, walaupun hanya diberi upah RM2,000.
Tindakan lelaki tempatan berusia 30 tahun itu bagaimanapun tidak berjaya apabila dia sudah ditangkap ketika hendak melepasi tapisan pertama keselamatan oleh polis selepas keluar dari Thailand, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, suspek dalam keadaan mencurigakan ditahan ketika memandu sebuah kereta jenis Proton S70 yang disewa.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebuah bagasi hitam di bonet sebelum menjumpai 10 bungkusan plastik hitam dan 10 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Secara keseluruhan sebanyak 16.2 kilogram (kg) daun ganja dengan nilai dianggarkan RM583,500 dirampas yang mana kita percaya akan di bawa ke Selatan tanah air sebelum dihantar ke negara ketiga,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Radzi berkata, suspek meninggalkan kereta tersebut di kawasan parkir berbayar Bukit Kayu Hitam pada 9 November sebelum memasuki Thailand dengan pengangkutan awam.
“Dia dipercayai menginap di sebuah hotel di Danok selama lima hari dan ada pulang ke Malaysia untuk mengambil wang sebelum memasuki semula negara itu bagi urusan berkaitan dadah berkenaan.
“Pada hari kejadian suspek diarahkan membawa masuk kenderaan sewanya dan mengambil bagasi berkenaan yang diletakkan dua lelaki Thailand berhampiran pintu masuk negara itu, suspek dijanjikan upah RM2,000 jika berjaya,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini direman enam hari sehingga 20 November depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN








