PETALING JAYA: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Namewee akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis sehingga 26 November.
Kertas siasatan membabitkan pengarah dan penyanyi kontroversi yang nama penuhnya Wee Meng Chee, 42, akan dihantar semula ke Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) setelah laporan bedah siasat diperoleh.
“Namewee akan dibebaskan setelah kertas siasatan dirujuk ke pejabat PPM hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, peguam negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan, pembebasan Namewee dibuat hari ini berikutan tiada sebarang petunjuk kukuh yang dapat mengaitkan individu berkenaan secara langsung dengan punca kematian pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun.
Beliau turut mengesahkan arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan melengkapkan kertas siasatan.
Namewee, 42, tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan kematian pempengaruh wanita warga Taiwan.
Namewee ditahan reman selama enam hari sebelum disambung reman tiga hari lagi sehingga tamat reman hari ini.
Ia berikutan penyanyi itu individu terakhir yang dikatakan berada bersama mangsa. Pempengaruh itu ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada 22 Oktober lalu. – UTUSAN










