Suami mengabaikan nafkah selepas perceraian semakin menjadi isu sosial yang meruncing dengan kebanyakan tuntutan nafkah tertunggak datang daripada kes selepas perceraian bukan semasa perkahwinan.
Lebih malang, dalam dunia media sosial hari ini, segelintir lelaki dilihat aktif memuat naik gambar anak dengan kapsyen kasih sayang, sedangkan hakikatnya satu sen pun tidak disalurkan untuk nafkah anak sendiri.
Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, perbuatan tersebut bukan sekadar kecuaian moral, tetapi satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah Allah SWT.
Katanya, Islam tidak menilai kasih seorang ayah melalui kata-kata atau gambar, tetapi melalui tanggungjawab dan pengorbanan.
“Segelintir lelaki menyangka lafaz talak membebaskan mereka daripada tanggungjawab. Hakikatnya, tanggungjawab sebagai suami memang tamat selepas iddah, tetapi tanggungjawab sebagai ayah kekal sampai anak boleh berdikari.
“Terdapat hadis mengikut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.
“Hadis ini menjadi amaran jelas bahawa menahan nafkah anak adalah dosa besar. Nafkah kepada mereka bukan budi, tetapi hak yang wajib dipenuhi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut beliau, nafkah ini bukan sekadar wang saku bulanan, tetapi meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.
“Firman Allah SWT: Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu (anak-anaknya) dengan cara yang makruf.” (Surah al-Baqarah: 233).
“Nafkah ini bukan sekadar wang saku bulanan, tetapi meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Ia bukan jasa yang boleh dipilih, tetapi amanah yang akan dihisab di hadapan Allah,” katanya.
Mohd. Sukki berkata, terdapat segelintir lelaki sengaja menahan nafkah untuk menghukum bekas isteri. Tindakan seperti ini adalah kezaliman berganda iaitu kezaliman terhadap anak dan terhadap prinsip keadilan Islam.
Katanya, menjadikan nafkah sebagai alat menghukum membuktikan hilangnya sifat qawwam iaitu pelindung dan penyantun keluarga, yang sepatutnya menjadi ciri utama seorang lelaki.
“Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 34: Kaum lelaki adalah pemimpin (qawwam) terhadap kaum wanita kerana mereka menafkahkan sebahagian harta mereka.
“Menahan nafkah sebagai dendam adalah suatu kezaliman yang dilaknat. Status qawwam bukan hak semula jadi lelaki, tetapi anugerah bersyarat iaitu selagi dia menunaikan tanggungjawab.
“Apabila seseorang lelaki meninggalkan tanggungjawabnya dan bersikap lepas tangan, maka dia hilang kelayakan moral sebagai qawwam dan menanggung dosa kerana mengkhianati amanah itu.
Beliau berkata, lebih membimbangkan, ada pula yang beralasan ‘Anak tak cari aku, kenapa aku nak bagi nafkah?’, seolah-olah kasih anak menjadi syarat untuk menunaikan tanggungjawab.
“Dalam Islam, nafkah tidak bergantung pada emosi. Ia kewajipan syarak, bukan pilihan perasaan. Walaupun anak tidak datang menjenguk, nafkah tetap wajib diberi. Menolak kewajipan atas alasan kecil hati hanyalah tanda kelemahan iman dan ketandusan jiwa qawwam,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar lelaki meneladani Rasulullah SAW yang sendiri hidup dalam kesederhanaan, namun tidak pernah mengabaikan keluarga.
“Baginda bersabda: Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku. (Riwayat al-Tirmizi)
“Saidina Umar RA juga menegur lelaki yang lalai menafkahi keluarga dengan kata-kata tegas: Jangan kamu menyangka ibadahmu akan diterima sedangkan kamu mengabaikan mereka yang menjadi tanggunganmu.”
Hal ini menunjukkan nafkah bukan sekadar urusan ekonomi, tetapi satu bentuk ibadah yang menuntut keikhlasan, dan setiap sen yang diberikan kerana Allah akan menjadi sedekah yang berpahala, manakala setiap sen yang ditahan dengan sengaja akan menjadi dosa yang berat di akhirat.
Menurutnya, perpisahan tidak bermakna tanggungjawab terhenti, malah nafkah selepas cerai bukan urusan mahkamah semata-mata, tetapi urusan yang akan diadili di mahkamah Allah kelak.
“Perceraian bukan sebab untuk melepaskan amanah. Nafkah bukan sekadar nilai ringgit, malah ia ukuran iman dan kesetiaan kepada perintah Allah.
“Lelaki sejati tidak diukur dengan berapa banyak gambar anak yang dikongsi, tetapi sejauh mana dia menunaikan hak anak-anak yang Allah amanahkan,” katanya. – UTUSAN










