PETALIG JAYA: Peneraju latihan teknikal dan vokasional negara, SG Academy Peneraju menjalin kerjasama strategik dengan Bangi Resort Hotel bagi memperkasa sector TVET di negara ini.
Ketua TVET SG Academy, R. Senthil Mageswaran berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah memperkasa pendidikan kulinari negara melalui integrasi teknologi canggih selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan TVET teras pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Katanya, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem latihan dalam bidang hospitaliti dan kulinari, malah menandakan satu era baharu pendidikan berasaskan teknologi dan amalan lestari.
“Melalui Kerjasama ini, pelajar akan diperkenalkan kepada konsep Smart Chefs, iaitu pendekatan baharu yang menggabungkan kemahiran sains kulinari, pengurusan dapur digital dan teknologi makanan.
“Ia bukan sekadar latihan masakan moden, tetapi memberi pendedahan terhadap sistem dapur pintar yang berteraskan Revolusi Industri 4.0. Kami mahu lahirkan generasi chef yang bukan sahaja mahir memasak, tetapi juga mampu berinovasi dan mengurus dapur berasaskan data,” katanya dalam satu kenyataan hari ini..
Tambah Senthil Mageswaran, model latihan itu berpaksikan dapur pusat Bangi Resort Hotel yang diperakui FSSC22000, disokong dengan kurikulum teknikal bernilai tinggi yang diakreditasi SG Academy.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pembangunan) JPK, Kamaruzaman Md Ali menyifatkan kolaborasi SG Academy dan Bangi Resort Hotel sebagai model kerjasama strategik berimpak tinggi antara institusi latihan dan industri.
“Inisiatif ini membuktikan kekuatan sistem TVET yang digerakkan secara sinergi oleh pemain industri. Ia mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Bangi Resort Hotel Soh Chung-Ky berkata, pihaknya menyatakan rasa bangga apabila dipilih sebagai pusat latihan perintis bagi program berprestij ini.
“Kami komited terhadap kecemerlangan dan inovasi serta membuka peluang kepada pelajar kulinari untuk berkembang dalam suasana profesional.
“Kerjasama ini bukan sekadar pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan, tetapi juga satu langkah menyokong transformasi industri hospitaliti ke arah standard antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN










