PN Negeri Sembilan sudah serah SD kepada BN

PN Negeri Sembilan sudah serah SD kepada BN

MOHD. Fairuz Mohd. Isa ketika ditemui Utusan Malaysia di Jempol baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sudah menyerahkan akuan sumpah (SD) kepada Barisan Nasional (BN) sebagai tanda sokongan bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, dokumen tersebut diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu berkata, ia bertujuan  untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurut beliau, langkah itu dibuat susulan perkembangan semasa yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kami di peringkat PN mengikut keadaan semasa. Apa yang berlaku sekarang ini, pada realitinya kerajaan sedia ada telah hilang sokongan majoriti.

“Jadi, untuk makluman kami sudah serahkan SD kepada pihak BN sebagai tanda sokongan untuk langkah seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Fairuz berkata, setakat ini PN masih menunggu perkembangan lanjut termasuk kemungkinan wakil BN menghadap Yang di-Pertuan Besar dalam masa terdekat.

Katanya, terdapat dua kemungkinan yang boleh berlaku iaitu pembentukan kerajaan negeri baharu atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau mendapat perkenan Tuanku Muhriz, maka dapatlah membentuk kerajaan negeri baharu. Namun, jika sebaliknya dan DUN dibubarkan, kami (PN) sudah bersedia menghadapi PRN,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fairuz menyifatkan kenyataan Aminuddin mengenai kerajaan minoriti hanya sekadar untuk menyedapkan hati.

“Bagi saya, beliau faham tentang politik demokrasi yang berteraskan sokongan majoriti. Walaupun kelebihan hanya satu kerusi, itu sudah memadai untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, istilah kerajaan minoriti itu bagi saya hanya bersifat sementara,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mengumumkan kesemua lima ADUN PN bersedia bekerjasama dengan BN yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, kesediaan tersebut bertujuan menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri bagi membangunkan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN