SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menafikan tindakan 14 ADUN parti itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai usaha ‘tebuk atap’ atau cubaan merampas kuasa.
Menurutnya, pendirian tersebut dibuat secara terbuka, rasmi serta berasaskan prinsip selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Langkah itu juga katanya, bukan tindakan sulit, rundingan pintu belakang atau cubaan merebut kuasa, sebaliknya satu pendirian politik yang sah.
“Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.
“UMNO BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BN Negeri Sembilan berkata, dakwaan yang cuba menggambarkan tindakan itu sebagai usaha tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih pentadbiran negeri adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Jelasnya, isu berkenaan bukan hanya pertikaian politik biasa, sebaliknya melibatkan perkara serius yang menyentuh institusi adat, Perlembagaan negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Dalam masa sama, Exco daripada UMNO BN juga tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, menyebabkan kami tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dipersetujui,” katanya.
Mengulas lanjut, tindakan menarik sokongan bukan semata-mata berkaitan prestasi harian Menteri Besar, tetapi membabitkan keupayaan kepimpinan mengurus krisis institusi yang sensitif.
“Isu melibatkan adat dan pentadbiran negeri perlu ditangani dengan kefahaman mendalam terhadap konteks Negeri Sembilan, selain memberi ruang kepada pimpinan tempatan bagi menjelaskan perkara tersebut.
“UMNO BN tetap menjunjung kasih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan institusi adat dan undang-undang negeri,” katanya.-UTUSAN.










