KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 21 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, dengan menonjolkan gabungan nama-nama berpengaruh serta muka baharu sebagai usaha strategik memperkukuh semula kedudukan di beberapa kerusi tumpuan.
Daripada jumlah itu, PKR mengetuai senarai dengan 12 calon, disusuli lapan wakil DAP manakala Parti Amanah Negara (Amanah) hanya bertanding satu kerusi iaitu di Sulabayan.
Antara nama besar yang kembali mempertahankan pengaruh ialah Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe bertanding di DUN Likas manakala Naib Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang di Kapayan dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong bertanding di DUN Elopura.
Timbalan Pengerusi PKR, Datuk Peto Galim juga bersaing dalam mempertahankan kedudukan di DUN Inanam, manakala parti itu juga turut mempertaruhkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ruji Ubi dalam misi kemenangan DUN Merotai.
Kesemua mereka dilihat sebagai tonggak utama dalam misi PH mengekalkan kawasan bandar dan separa bandar yang selama ini menjadi kubu tradisi parti itu.
Di kawasan pedalaman, PH mempertaruhkan watak-watak penting termasuk Jamawi Jaafar (Melalap) dan Noorita Sual (Kemabong), yang masing-masing membawa jaringan akar umbi yang luas.
Calon lain seperti Rufinah Pengeran (Tulid) dan Abdul Said Pimping (Gum-Gum) turut melengkapkan strategi PH merentasi zon pedalaman Sabah.
Sementara itu, di kawasan majoriti Cina dan campuran, PH meletakkan tokoh berprofil tinggi seperti Chan Foong Hin (Tanjung Aru), Thonny Chee (Api-Api) dan Philip Yap (Sri Tanjong) sebagai usaha mengekalkan momentum bandar yang konsisten menyebelahi gabungan itu sejak dua PRU lalu.
Dalam perkembangan sama, Amanah yang hanya meletakkan seorang calon, Zulfikar Mijan di DUN Sulabayan, dianggap membuat pertaruhan berani di kawasan yang sering mencorak naratif keselamatan perairan dan isu dokumentasi penduduk.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Peto berkata, jika tiada unsur sabotaj, PKR mampu menang separuh daripada 12 calon yang dipertaruhkan.
“Kita berkeyakinan dan peluang cerah di beberapa kawasan, jadi saya fikir kalau jentera bagus, dan kerjasama dengan gabungan ini, kita boleh menang separuh daripada 12 yang dipertaruhkan.
“Tetapi dengan syarat, ia perlu kerjasama daripada parti gabungan dan tiada unsur sabotaj daripada dalaman,” katanya. -UTUSAN










