PETALING JAYA: Penyanyi, Ina Naim, menyifatkan episod putus tunang dengan selebriti popular, Mawi, pada Julai 2006 sebagai antara detik paling kelam dalam hidupnya.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Ina atau Nordiana Mohd. Naim, 41, berkata, beliau terpaksa berdepan pelbagai tohmahan masyarakat yang menganggap dirinya sebagai punca keretakan hubungan tersebut.
“Masa putus tunang itu memang menjadi titik terendah dalam hidup kerana kesilapan itu bukan datang daripada kita. Tetapi apabila netizen menuduh macam-macam, saya tiada tempat mengadu selain kepada Allah.
“Saya berdoa, ‘Ya Allah, Engkau Maha Kaya. Tunjukkanlah kepada orang bahawa bukan aku yang bersalah.’
“Saya mohon agar Allah tunjukkan sesuatu kepada mereka yang mengkritik, merendahkan dan menganggap segala-galanya berpunca daripada saya,” katanya menerusi klip temu bual dalam program audio siar Bukak Mulut yang tular baru-baru ini.
Menurut Ina, usianya yang ketika itu baru 22 tahun menyebabkan beliau tidak cukup matang untuk menghadapi ujian sebesar itu.
“Iman pun tidak berapa kuat ketika itu, saya masih muda. Tetapi saya anggap semua yang berlaku sebagai kifarah dan Allah mahu mengampunkan dosa-dosa kita.
“Apabila kembali kepada Allah, hati jadi lebih tenang,” ujarnya.
Kisah percintaan Ina dan Mawi pernah menjadi tumpuan umum pada 2005 selepas penyanyi itu meraih populariti mendadak dalam industri hiburan. Namun, pertunangan mereka berakhir pada Julai 2006.
Dalam program Mawi…Ina terbitan RTM suatu ketika dahulu, pasangan itu dipertemukan semula buat pertama kali selepas perpisahan dan Ina mengakui wujudnya campur tangan pihak ketiga, namun enggan mengulas lanjut demi menjaga aib.
Mawi, yang ketika itu berusia 25 tahun, tidak menafikan hal tersebut, tetapi menjelaskan tekanan kehidupan serta kesibukan kerjaya turut menjadi faktor mereka berpisah.
Pada 2007, Ina mengikat tali pertunangan dan seterusnya mendirikan rumah tangga dengan bekas anggota kumpulan In-Team, Suhaimi Saad, secara tertutup. Suhaimi meninggal dunia pada November 2023.
Ina kemudiannya bertemu jodoh dengan seorang jurutera, Mohd. Khairul Rizal, dan pasangan itu selamat diijabkabulkan tahun lalu. — UTUSAN










