KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri naik mendadak dengan 2,081 mangsa ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 1 petang ini, berbanding hanya 90 orang pagi tadi.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, semua mangsa daripada 677 keluarga itu melibatkan enam daerah terjejas iaitu Marang (1,328 orang), Kuala Terengganu (100 orang), Setiu (332 orang), Besut 179 (orang), Hulu Terengganu (59 orang) dan Dungun 83 orang.
Antara kawasan terjejas di Marang adalah Kampung Simpang Rawai, Alor Limbat, Padang Limau Nipis dan Taman Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung.
Peningkatan ketara jumlah mangsa itu ekoran hujan berterusan sejak malam tadi sehingga ada kawasan yang lambat dinaiki air pada tahun-tahun sebelum ini, sudah tenggelam.
Sementara itu, enam sungai di Terengganu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Besut di Kampung La; Jambatan Keruak di Sungai Besut,;Sungai Setiu di Kampung Besut; Sungai Chalok di Jambatan Chalok; Sungai Besut di Kampung La dan Sungai Besut di Kampung Keruak. – UTUSAN










