MELAKA: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai mengambil upah membakar serta menyimbah cat ke atas rumah dan kenderaan bagi pihak individu yang mahu membalas dendam atau arahan along, kelmarin.
Pasangan berusia 26 dan 36 tahun itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 8.30 malam di sekitar Kajang dan Serdang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek selepas menerima laporan seorang mangsa berhubung insiden sebuah Proton X50 dibakar di Lorong Laksamana, Bukit Cina pada 11 November lalu.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian berlaku antara pukul 1.45 hingga 1.50 pagi, apabila suspek dilihat berlegar-legar menaiki kereta jenis Hyundai Sonata sebelum membaling objek yang sedang menyala ke halaman rumah mangsa.
“Perbuatan itu menyebabkan kenderaan mangsa musnah terbakar dan bertindak atas maklumat tersebut, polis berjaya menahan kedua-dua suspek.
“Dengan tangkapan ini, pasukan D7 IPD Melaka Tengah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes khianat api dan satu kes simbah cat yang berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini dari Julai hingga November,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengambil upah melakukan perbuatan khianat itu daripada individu yang mahu membalas dendam atau dari kumpulan along dengan bayaran sehingga RM1,500. – UTUSAN










