Memorandum bantah kenaikan cukai taksiran MBAS 

Memorandum bantah kenaikan cukai taksiran MBAS 

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berhubung kenaikan cukai taksiran melalui penilaian baharu yang disifatkan membebankan rakyat.

Presidennya, Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, peningkatan nilai taksiran baharu itu terlalu tinggi sehingga menyebabkan kejutan kepada pengguna terutama pemilik hartanah persendirian di bandar raya ini. 

“Ramai pengguna meluahkan rasa tidak puas hati mendakwa cukai mereka naik mendadak. Saya sendiri terima notis itu dan amat terkejut apabila mendapati cukai pintu naik mendadak,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya di sini hari ini.

Kata beliau, memorandum itu antaranya mengemukakan tuntutan agar pihak berkenaan menyemak semula penilaian tersebut secara berperingkat agar tidak membeban pengguna. 

“Kita tidak menolak keperluan semakan semula nilaian, tetapi biarlah dilaksanakan secara beransur-ansur agar tidak memberi kejutan kepada rakyat. Jika naik sedikit setiap tahun, pengguna boleh terima,” ujarnya. 

Beliau berkata, peningkatan itu akan memberi kesan berganda terhadap pengguna, khususnya pemilik rumah yang berpendapatan rendah serta penyewa yang terpaksa menanggung kenaikan kadar sewa. 

“Rumah adalah keperluan asas manusia. Bila cukai pintu naik dua kali ganda, pemilik rumah akan terbeban dan penyewa pula akan turut menanggung akibatnya,” katanya. 

Menurut Mohd. Yusrizal, pihaknya juga menerima laporan kenaikan kadar bagi premis perniagaan dan pusat komersial mencecah 200 peratus yang dikhuatiri memberi impak kenaikan harga barang kepada pengguna. 

Justeru, beliau menggesa MBAS serta kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada semakan semula agar tidak membebankan pengguna selain melanjutkan tempoh bantahan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN