PERMATANG PAUH: Industri halal negara terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beberapa negara menyatakan persetujuan mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam perkara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara negara tersebut termasuk Vietnam, China, Afrika Selatan, Brazil, Peru serta Ethiopia.
Beliau berkata, pemimpin dari negara-negara itu bukan sahaja tertarik dengan keupayaan serta prestasi Malaysia dalam membangunkan industri halal, malah, mereka juga mahu belajar sesuatu daripada Malaysia mengenai industri berkenaan.
“Dalam hal ini, saya ucapkan tahniah kepada semua, baik Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) dan Majlis Agama Islam kerana mereka dapat mempertahankan prestasi kita yang cemerlang dalam memperkenalkan industri halal (ke peringkat antarabangsa).
“Tetapi, saya menekankan bahawa kita juga perlu ada kekuatan yang bukan sahaja dari segi pensijilan (halal), tapi mesti ada sinergi di antara sijil dan industri itu sendiri,” katanya berucap merasmikan Penang International Halal Expo (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, Anwar turut mengumumkan penyaluran peruntukan awal sebanyak RM5 juta bagi memperkukuh penyertaan bumiputera dalam industri semikonduktor negara.
Mengulas mengenai peruntukan itu pula, beliau berkata, ia diharap mampu meningkatkan penglibatan golongan berkenaan dalam rantaian bekalan sektor berteknologi tinggi.
“Dana ini merupakan langkah permulaan untuk kita membangunkan kerangka kerjasama strategik melibatkan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri,” ujar beliau. – UTUSAN










