Aron Koh diiktiraf Fellowship Kehormat atas sumbangan kepada industri perfilem - Utusan Malaysia

Aron Koh diiktiraf Fellowship Kehormat atas sumbangan kepada industri perfilem

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Bersama dan Penerbit Filem Lomo Pictures, Aron Koh, menerima pengiktirafan Fellowship Kehormat (Honorary Fellowship) daripada Lincoln Professional Academy sebagai menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan industri perfileman negara serta memperkukuh kerjasama filem, pendidikan dan pertukaran budaya di peringkat antarabangsa.

Penganugerahan itu mencerminkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Aron dalam bidang penerbitan filem, pembangunan industri kreatif serta usaha memperluaskan jaringan kerjasama antara Malaysia dengan beberapa negara di rantau Asia.

Menurut Aron, pengiktirafan tersebut bukan sekadar satu penghormatan peribadi, malah menjadi bukti kepercayaan masyarakat terhadap usaha yang telah beliau lakukan dalam memajukan industri filem, termasuk memperkukuh pertukaran budaya menerusi medium filem dan televisyen.

Sepanjang kerjayanya, beliau aktif mempromosikan kerjasama industri perfileman antara Malaysia dengan Hong Kong, Taiwan, China dan Singapura.

Penganugerahan Fellowship Kehormat itu juga dilihat mampu meningkatkan kredibiliti serta pengiktirafan beliau di peringkat antarabangsa.

Katanya, anugerah tersebut dijangka memberi nilai tambah kepada setiap projek yang akan diterajui pada masa hadapan, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama antarabangsa dan memperkukuh pelbagai inisiatif dalam pembangunan industri filem serta televisyen.

Sepanjang lebih sedekad berkecimpung dalam industri, Aron memainkan peranan penting menerusi penerbitan filem bebas, kerjasama serantau serta pelbagai program yang menghimpunkan pembikin filem, institusi pendidikan dan komuniti kreatif merentasi sempadan.

Penglibatan itu turut merangkumi penganjuran festival filem antarabangsa serta pembangunan pendidikan kreatif bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap perfileman Asia Pasifik.

“Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan hanya milik saya, malah turut dikongsi bersama para pembikin filem, pencerita dan rakan kerjasama yang telah bersama-sama saya sepanjang perjalanan ini.

“Kami berkongsi keyakinan bahawa filem dan penceritaan mampu merapatkan hubungan antara masyarakat daripada pelbagai budaya. Saya berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan agar bakat serta karya Malaysia terus mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa,” katanya.

Antara sumbangan terbesar beliau ialah sebagai Pengerusi Penganjur Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 dan ke-62.

Penganjuran festival berprestij itu di Malaysia berjaya menghimpunkan pengarah, penerbit, pelabur serta pemain industri dari seluruh rantau, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh dialog, kerjasama dan pertukaran budaya di peringkat serantau.

Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Penganjur Festival Filem Pertukaran China-Malaysia yang baru menutup tirai edisi ketiganya.

Festival berkenaan diwujudkan bagi mengeratkan hubungan budaya serta kerjasama industri perfileman antara Malaysia dan China, selain menjadi medan kepada pembikin filem, penggiat industri kreatif dan institusi dari kedua-dua negara untuk membina rangkaian kerjasama serta berkongsi pandangan.

Usaha itu melengkapkan peranan beliau di Lomo Pictures yang diasaskan bersama pada 2016.

Di bawah kepimpinannya, syarikat berkenaan telah menerbitkan dan mengedarkan lebih 30 filem dalam pelbagai genre dan bahasa, selain menjalin kerjasama dengan pembikin filem serta syarikat produksi di seluruh rantau Asia Pasifik.

Selain aktif dalam industri, Aron turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan apabila berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Filem Digital, Mantissa College.

Beliau menegaskan pengiktirafan diterima itu menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh ekosistem perfileman Malaysia melalui kerjasama dengan pembikin filem, institusi pendidikan dan rakan industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang di peringkat antarabangsa serta membawa kisah-kisah dari Malaysia dan Asia kepada penonton di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN